
MAJLIS PENYERAHAN AMBULAN BAHARU DAN KENDERAAN SERBA GUNA SERENA KEPADA PKU UMT
- Posted by nurain fared
- Categories Aktiviti
- Date 21/10/2025

Kuala Nerus– Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh komitmennya terhadap kebajikan dan keselamatan warga kampus melalui Majlis Penyerahan Ambulan Baharu UMT, yang menyaksikan penyerahan dua unit ambulans dan sebuah kenderaan Nissan Serena kepada Pusat Kesihatan Universiti (PKU).
Majlis penuh bermakna ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim, yang secara rasmi menerima penyerahan kunci kenderaan daripada wakil pembekal yang telah dilantik untuk menguruskan perolehan kenderaan tersebut. Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Pengarah Pejabat Pembangunan dan Harta (PPH), Encik Mohd Faizal bin Mohd Noor dan Pengarah Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Dr. Arnie A. Rahim, bersama sebahagian barisan pengurusan universiti serta warga kerja PKU.
Dalam ucapannya, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim menegaskan bahawa penambahan aset baharu ini adalah satu langkah strategik dalam memastikan kecekapan dan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan di UMT sentiasa berada pada tahap optimum. “Ambulan baharu ini bukan sekadar kenderaan, tetapi satu keperluan penting bagi memastikan setiap kecemasan dapat ditangani dengan pantas, profesional dan selamat. Ia juga mencerminkan keprihatinan universiti terhadap kebajikan pelajar dan staf,” ujar beliau. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak pembekal dan semua jabatan yang terlibat, khususnya PPH, PKU dan Bendahari atas usaha dan kerjasama erat yang memastikan proses perolehan dan penyerahan berjalan lancar.
Â

Menurut Dr. Arnie A. Rahim, dua unit ambulans baharu ini dilengkapi dengan peralatan perubatan moden dan sistem komunikasi terkini bagi meningkatkan kecekapan operasi kecemasan PKU. “Dengan kemudahan ini, pasukan perubatan UMT akan lebih bersedia untuk bertindak pantas sekiranya berlaku sebarang kejadian kecemasan di dalam atau di luar kampus,” jelas beliau. Dr Arnie memaklumkan, sebuah kenderaan Nissan Serena turut diserahkan untuk kegunaan sokongan PKU, khususnya bagi aktiviti kesihatan komuniti, program kesedaran dan perkhidmatan temujanji kesihatan warganya terutama pelajar yang sedang mengikuti pembelajaran di UMT ke hospital dan klinik kesihatan.
Kenderaan ini dijangka dapat memperluaskan keupayaan warga PKU dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh kepada warga kampus. Majlis yang berlangsung di perkarangan Bangunan Canselori UMT itu turut diserikan dengan sesi bergambar dan taklimat ringkas berkenaan spesifikasi serta fungsi peralatan dalam ambulans oleh wakil pembekal. Majlis Penyerahan Ambulan Baharu UMT telah berlangsung pada 18 November 2024, manakala Majlis Penyerahan Kenderaan Nissan Serena telah diadakan pada 24 Ogos 2025, kedua-duanya berlangsung di Dataran Canselori UMT.
Penyerahan rasmi tersebut menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha UMT memperkukuh infrastruktur, peningkatan fasiliti dan perkhidmatan sokongan universiti, seiring dengan misi menjadikan tetapi juga mencerminkan nilai prihatin, profesionalisme dan tanggungjawab sosial yang menjadi tunjang utama kecemerlangan Universiti Malaysia Terengganu.
Previous post
PROGRAM GOTONG-ROYONG MEGA GEMPUR AEDES 1.0 UMT DAN KOMUNITI KAMPUNG KUBANG BADAK
You may also like
CERAMAH JOM SIHAT : CAKNA UBAT ” KENAL DULU BARU TELAN”
Pemeriksaan Kenderaan Jabatan oleh Pengarah PKU
