
PROGRAM TRANSFORMASI BERAT BADAN 2025: AKITIVITI MENDAKI DI BUKIT BESAR
- Posted by Hawa Nadhirah
- Categories Aktiviti
- Date 09/10/2025

Kuala Terengganu, 2 Oktober 2025 – Dalam usaha berterusan untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan warga kampus, Klinik Kekal Sihat Pusat Kesihatan Universiti telah menganjurkan satu aktiviti mendaki di Bukit Besar sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Berat Badan 2025.
Program ini terdiri daripada pelajar, staf akademik dan staf sokongan yang berdaftar di bawah inisiatif transformasi berat badan tahun ini. Aktiviti ini bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup aktif melalui pendekatan rekreasi luar yang menyeronokkan dan mencabar.
Bukit Besar, yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari pusat bandar Kuala Terengganu, merupakan lokasi mendaki popular yang mempunyai laluan sejauh 3.5 kilometer dengan tahap kesukaran sederhana. Pendakian selama kira-kira 1 jam ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, malah turut memberi peluang kepada peserta untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan mengurangkan tekanan mental.
Para peserta menunjukkan sambutan yang sangat positif terhadap aktiviti ini. Ramai yang mengakui bahawa ini adalah pengalaman pertama mereka mendaki trek rimba yang penuh dengan keindahan semula, dan ia memberikan satu dorongan baharu untuk terus konsisten dalam misi menurunkan berat badan.
Program Transformasi Berat Badan 2025 merupakan inisiatif komprehensif yang merangkumi pemantauan berat badan, pemakanan sihat, sesi senaman berkala dan bimbingan psikologi. Aktiviti mendaki ini adalah sebahagian daripada siri aktiviti luar bulanan yang dirancang sepanjang tahun. Pusat Kesihatan Universiti menyeru lebih ramai warga kampus untuk menyertai program ini dan mengambil langkah aktif ke arah kehidupan yang lebih sihat dan seimbang.
Previous post
Program Peningkatan Profesional Berterusan Berikan Ilmu Terkini Kepada Staf PKU
You may also like
CERAMAH JOM SIHAT : CAKNA UBAT ” KENAL DULU BARU TELAN”
Pemeriksaan Kenderaan Jabatan oleh Pengarah PKU
