
PKU cakna kesihatan mental pekerja UMT
Kuala Terengganu – Pusat Kesihatan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan program Jom Sihat UMT Siri 3.0, satu inisiatif penting yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan mental. Dengan topik “Mindfulness and Mental Resilience: Bagaimana Bangkit Menjadi Lebih Baik”, program ini bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran kesihatan mental di kalangan staf dan warga UMT.
Program atas talian(webex) ini menampilkan Dr. Muna Hamiza Asiff, seorang Pakar Psikiatri dan Pensyarah Perubatan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), yang berkongsi pandangan tentang bagaimana mindfulness dan ketahanan mental boleh membantu mengatasi tekanan. Menurut Dr. Nurul Farhana binti Ismail, Pegawai Perubatan UMT dan moderator program, kekuatan mental adalah kunci untuk beradaptasi dan berkembang dari setiap cabaran.
Dr. Muna Hamiza turut menghuraikan konsep mindfulness sebagai latihan untuk mengawal emosi, di samping menekankan bahawa ketahanan mental bukan tentang tidak jatuh, tetapi bangkit semula dengan lebih kuat. Beliau turut berkongsi tips praktikal seperti membina rangkaian sokongan sosial yang kukuh, menetapkan matlamat yang realistik, dan mengamalkan gaya hidup sihat serta tangungjawab bersama dalam membina ruang kerja yang selamat dan sihat di tempat kerja.
Program ini mendapat sambutan yang luar biasa, menunjukkan peningkatan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental. Maklum balas positif daripada peserta menunjukkan harapan agar topik ini terus diperbincangkan secara mendalam. Rakaman penuh program ini boleh diakses di laman web dan Facebook Pusat Kesihatan UMT, mencerminkan komitmen UMT untuk membentuk komuniti yang sihat dan berdaya saing.





