
Meriah! Hari Sukan PKU UMT Kali ke-3 Pupuk Semangat Kekeluargaan
- Posted by irwan.iskandar
- Categories Aktiviti
- Date 25/09/2025
Pantai Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 2 Ogos 2025 menjadi saksi kemeriahan Hari Sukan Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UMT Kali ke-3 yang menghimpunkan seramai 41 staf PKU. Program yang berlangsung dari pagi hingga tengah hari ini berjaya mencipta suasana penuh keceriaan, semangat setiakawan dan kekeluargaan.
Seawal pagi, peserta dibahagikan kepada enam kumpulan dengan nama yang kreatif dan mencuit hati seperti Baby Shark Doo Doo, Aloha Panas Squad, Gajah, Seri Doremi dan Avengers. Setiap kumpulan memperkenalkan diri dengan laungan war cry yang penuh semangat, menandakan bermulanya cabaran hari itu.
Bagi memanaskan badan, senaman regangan diketuai oleh En. Amir Hafzan dan Cik Hawa Nadhirah dari Unit Fisioterapi. Acara diteruskan dengan ucapan aluan Pengarah PKU sebelum majlis perasmian yang disempurnakan oleh Tuan Pendaftar UMT, Ts. Wan Abdul Manan bin Wan Abdullah. Beliau turut mencetuskan gimik pelancaran dengan memulakan permainan Bowling Kelapa.
Sepanjang program, pelbagai permainan santai tetapi menguji kerjasama pasukan telah dipertandingkan termasuk Bowling Kelapa, Terompah Gergasi, Bola Beracun, Pijak Belon Lawan, Volleyball Belon Air dan Kembarku. Gelak tawa, sorakan dan semangat bersaing sihat mewarnai setiap acara.
Detik kemuncak adalah pengumuman pemenang. Kumpulan Aloha Panas Squad dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan, manakala kumpulan Gajah memenangi kategori War Cry terbaik. Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pengarah PKU dalam suasana penuh meriah.
Program berakhir sekitar jam 2.00 petang dengan kepuasan jelas terpancar pada wajah para peserta. Lebih daripada sekadar sukan, Hari Sukan PKU kali ini membuktikan bahawa aktiviti riadah bersama mampu memperkukuh ukhuwah, meningkatkan kerjasama dan mengekalkan semangat kekeluargaan warga PKU.
Next post
Program Peningkatan Profesional Berterusan Berikan Ilmu Terkini Kepada Staf PKU
You may also like
CERAMAH JOM SIHAT : CAKNA UBAT ” KENAL DULU BARU TELAN”
Pemeriksaan Kenderaan Jabatan oleh Pengarah PKU
