
Program Transformasi Berat Badan PKU 2025 :Majlis penganugerahan Pemenang Dirai Dalam Majlis Open Day Wellness Hub di Klinik Kesihatan Seberang Takir.
SEBERANG TAKIR, 25 Oktober 2025 (Sabtu) – Majlis penganugerahan Pemenang Program Transformasi Berat Badan PKU 2025 telah berlangsung dengan jayanya sempena Open Day Wellness Hub yang diadakan di Klinik Kesihatan Seberang Takir.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, YBrs. Dato’ Dr. Kasemani Embong, yang turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta program atas dedikasi dan usaha gigih mereka dalam mencapai gaya hidup sihat.
Turut hadir mewakili Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ialah Dr. Mas Aida binti Zaiton, selaku Ketua Bahagian Perubatan, Pusat Kesihatan Universiti (PKU), bersama beberapa orang staf PKU lain yang hadir bagi memberi sokongan kepada peserta program.
Program Transformasi Berat Badan PKU 2025 merupakan inisiatif kesihatan yang dianjurkan oleh Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UMT dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT). Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran warga kampus dan komuniti setempat mengenai kepentingan pengurusan berat badan ideal melalui amalan pemakanan sihat, aktiviti fizikal yang konsisten serta pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Majlis turut menyaksikan pengumuman dan penyampaian hadiah kepada tiga pemenang utama program tersebut, iaitu:
Tempat Pertama:
En. Mohd Hafiz bin Dolah (Staf Bahagian Keselamatan)
Menunjukkan penurunan berat badan sebanyak 17.5%
Tempat Kedua:
Cik Krishnappriyaa A/P Gopi (Pelajar)
Menunjukkan penurunan berat badan sebanyak 11.6%
Tempat Ketiga:
Cik Asmidar binti Mohamad (Pelajar)
Menunjukkan penurunan berat badan sebanyak 6.7%
Selain penyampaian hadiah, majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kesihatan seperti pemeriksaan kesihatan percuma, pameran pemakanan sihat dan senamrobik.
Dalam ucapannya, Dato’ Dr. Kasemani menegaskan bahawa usaha berterusan dalam memupuk gaya hidup sihat amat penting bagi membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dan hipertensi di kalangan masyarakat.
Majlis yang berlangsung dalam suasana ceria dan penuh semangat itu diakhiri dengan sesi bergambar bersama para pemenang dan tetamu kehormat, menandakan kejayaan program yang bukan sahaja memberi inspirasi kepada peserta, tetapi juga menggalakkan masyarakat umum untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.








