
Medical Cover Kejohanan Sukan Asasi Malaysia 2025 (SAM)
- Posted by irwan.iskandar
- Categories Aktiviti
- Date 20/07/2025
Pusat Asasi STEM (PASTEM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), telah dipilih sebagai tuan rumah bagi Sukan Asasi Malaysia 2025 (SAM2025) oleh Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam (MDPA). Acara berprestij ini telah berlangsung selama tiga hari, dari 7 hingga 9 Februari 2025, melibatkan beberapa lokasi utama di negeri Terengganu termasuk Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Pantai Teluk Ketapang.
Menghimpunkan lebih 1,500 peserta dari pelbagai pusat asasi universiti awam seluruh Malaysia. Pelbagai acara sukan akan dianjurkan melibatkan sukan berpasukan dan individu seperti bola sepak pantai, futsal, ragbi, olahraga, badminton, bola jaring, dan bola tampar.
Pasukan ini diketuai oleh Pengarah Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Dr. Arnie binti A Rahim merangkap sebagai Pengerusi jawatankuasa yang turut disokong oleh Timbalan Pengerusi, Bendahari, Setiausaha, urusetia dan ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam pelbagai aspek seperti perubatan, kelengkapan lokasi, persiapan ambulans serta kawalan kebersihan makanan dan vektor.
Satu sesi taklimat sukarelawan serta penyerahan kits pertolongan cemas telah diadakan oleh pihak PKU kepada sukarelawan pelajar bagi membantu semasa pertandingan berlangsung.Pembahagian tugas yang jelas dan sistematik telah membolehkan setiap individu melaksanakan peranan mereka secara efektif. Peranan mereka adalah kritikal dalam menyokong pasukan perubatan sedia ada, menyediakan rawatan kecemasan, serta memberi sokongan fisiologi kepada atlet yang bertanding. Persiapan juga termasuk pengurusan bilik gerakan bagi pelaksanaan pemantauan kesihatan secara menyeluruh sepanjang acara.
Isu kesihatan awam turut menjadi fokus utama. Pemeriksaan tempat pembiakan nyamuk mendapati aktiviti pembiakan jentik-jentik di kawasan longkang dan penghadang jalan berhampiran UMTCC. Tindakan segera telah diambil termasuk pemusnahan tempat pembiakan dan penggunaan racun serangga. Tambahan itu, semburan thermal fogging dijalankan bagi mencegah wabak bawaan vektor.
Taklimat keselamatan makanan turut diadakan secara dalam talian dengan wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), PASTEM dan pembekal makanan. Pemeriksaan dilakukan di semua lokasi utama termasuk Kompleks Sukan UMT, Pantai Teluk Ketapang dan Gelanggang Futsal UniSZA. Pegawai pemantau turut memastikan menu setiap waktu makan disediakan dengan mematuhi piawaian keselamatan.
Penganjuran SAM2025 bukan sahaja menggalakkan kecemerlangan dalam bidang sukan dalam kalangan pelajar asasi, tetapi juga memupuk semangat kerjasama dan kepimpinan. Justeru itu, kerjasama dan sokongan daripada pihak luar, khususnya dari sektor kesihatan, amat dihargai bagi menjayakan acara ini dengan lancar dan selamat
SAM 2025 bukan sekadar satu acara sukan, tetapi cerminan kerjasama profesional dan semangat tanggungjawab tinggi antara semua pihak terlibat. Perancangan teliti serta langkah-langkah keselamatan dan kesihatan yang diambil membuktikan komitmen penganjur untuk memastikan kejayaan acara secara menyeluruh.
You may also like
CERAMAH JOM SIHAT : CAKNA UBAT ” KENAL DULU BARU TELAN”
Pemeriksaan Kenderaan Jabatan oleh Pengarah PKU
