Back

11 JANUARI 2024

1/2024 - “UPDATE - WHAT’S NEXT AFTER QUARANTINE?”

Saban hari, situasi kes Covid19 dalam negara kita semakin meningkat. Trend penularan Covid19 di dalam UMT pada awal Januari ada mencatatkan sedikit penurunan berbanding Disember yang lalu. Kebiasaannya, purata kes harian pada bulan Disember mencatatkan 4-7 kes. Namun begitu, kes harian boleh meningkat sehingga 17-19 kes pada 2 minggu terakhir Disember. Trend peningkatan ini berlaku selepas pergerakan pelajar kembali ke kampus setelah cuti pertengahan semester dan Hari Natal. Justeru, warga disarankan untuk terus mengambil langkah pencegahan agar penyakit ini dapat dihindari.

 

Bagi warga yang telah dijangkiti Covid19, anda hendaklah mengemaskini status positif Covid19 di dalam aplikasi mySejahtera. Warga lain turut disarankan agar aplikasi mySejahtera sentiasa di KEMASKINI (UPDATE) dengan edisi terbaharu.

 

Bagi warga yang telah tamat kuarantin 5 hari, anda digalakkan untuk meneruskan langkah berjaga-jaga  sehingga hari yang ke-10 TANPA KUARANTIN seperti berikut:

  • Masih memakai pelitup muka ketika keluar rumah/kediaman

  • Elakkan berada di tempat yang sesak

  • Elakkan melawat kumpulan berisiko tinggi

  • Hanya membuat perjalanan yang perlu sahaja

  • Sentiasa mencuci tangan dengan sabun atau hand sanitizer

 

25 JANUARI 2024

2/2024 “ATASI TEKANAN, HINDARI KEMURUNGAN”

Tahukah anda tekanan adalah bagaimana otak dan badan kita bertindak balas terhadap sebarang ancaman, cabaran atau tuntutan yang mengganggu perjalanan normal sistem badan. Ia boleh membawa kepada tindakan positif atau negatif tergantung bagaimana kita menghadapi tekanan tersebut.

 

Tekanan bukan hanya boleh mempengaruhi perasaan emosi tetapi juga kepada kesihatan fizikal  kita. Salah satu contohnya adalah ‘migrain’ atau sakit kepala disebabkan stres. Ia juga boleh mempengaruhi selera makan, tidur, tekanan darah dan pelbagai lagi. Tekanan juga boleh menjadi kronik jika tidak diatasi dengan bijak.

 

Terdapat beberapa cara yang boleh warga lakukan ketika menghadapi tekanan. Salah satu teknik yang boleh diamalkan adalah 10B iaitu:

  1. Bertenang
  2. Bernafas secara dalam
  3. Berkata “relakslah”
  4. Beribadah
  5. Berfikiran positif
  6. Bersenam
  7. Beriadah 
  8. Berehat dan mendengar muzik yang digemari
  9. Berurut
  10. Berkongsi perasaan dengan orang yang dipercayai

Semoga teknik di atas dapat membantu warga menghadapi tekanan dengan lebih baik dan dapat mengelakkan berlakunya kemurungan. Ingat, tekanan jika disalurkan secara positif dapat membantu kita untuk menjadi individu yang lebih baik.

5 FEBRUARI 2024

3/2024 “CEGAH DENGGI DI MUSIM CUTI”

Tak lama lagi cuti sekolah dan cuti semester akan tiba. Dalam tak sedar, kes denggi sudah mula meningkat naik. Di Malaysia, denggi telah menjadi satu fenomena yang membimbangkan. Dalam UMT, bulan Januari sahaja, telah ada 8 kes denggi termasuk import dan tempatan. 

Jadi apa yang boleh warga lakukan bagi memutuskan rantaian jangkitan denggi ini? Warga boleh mengurangkan peratus jangkitan denggi dengan:

  1. Bergotong-royong melakukan aktiviti Cari Dan Musnah tempat pembiakan nyamuk Aedes di persekitaran tempat tinggal, pejabat dan Kolej Kediaman sebelum bercuti panjang (sekurangnya-kurangnya 10 minit setiap sesi) .
  2. Semburan aerosol untuk membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah, pejabat, atau premis kediaman.
  3. Letakkan bahan pembunuh jentik-jentik (abate) di dalam bekas takungan air kekal atau air yang sukar dibersihkan.
  4. Mengelakkan dari digigit nyamuk dengan menggunakan repelan dan memakai pakaian berlengan panjang serta berwarna cerah terutama sewaktu berada di luar rumah.
  5. Buang semua bekas-bekas yang berpotensi menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes.
  6. Tutup pam tandas dan mangkuk tandas dengan rapat selepas digunakan dan pastikan pam tandas dapat berfungsi dengan baik.

Aktiviti Cari dan Musnah tempat pembiakan nyamuk ini amat disarankan untuk semua warga lakukan kerana masa yang diluangkan dapat mengubah keadaan kesihatan kita akan datang. Semua pelajar juga dinasihatkan agar memastikan bilik atau rumah sewa berada dalam keadaan yang bersih dan bebas dari sebarang bekas-bekas berpotensi untuk menjadi tempat pembiakan nyamuk. Ingat, usaha yang dilakukan secara beramai-ramai lebih bermakna berbanding individu. Oleh itu, garapkan tekad dan kerjasama untuk kita hentikan penularan denggi.

22 FEBRUARI 2024

4/2024 “ “APA YANG ANDA DAPAT DENGAN BERJALAN 10,000 LANGKAH?”

Cuti sekolah dan cuti semester sudah bermula. Ada ke yang buat  10 minit Gotong-royong Cegah Aedes di rumah? Jangan lupa ya luangkan sedikit masa untuk aktiviti itu supaya persekitaran rumah kita bebas dari menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Baiklah, masa yang banyak terluang semasa cuti ini, elok kalau kita cergaskan badan. Tidak perlu ke gimnasium untuk cergas, berjalan pun boleh tau.

 

Kebanyakkan orang beritahu “berjalan 10,000 langkah itu baik untuk kesihatan”. Tapi, pernah tak kita terfikir, apa yang kita dapat kalau berjalan 10,000 langkah itu ya?

Antara kebaikan yang kita akan peroleh jika konsisten berjalan 10,000 langkah sehari adalah seperti berikut: 

 

  1. Berjalan 10,000 langkah bersamaan 6.5 kilometer dan dapat membakar 380 kalori.
  2. Berjalan 10,000 langkah sehari secara konsisten mampu mengurangkan 64 gram lemak dalam badan.
  3. Kita dapat mengawal berat badan dan membantu membentuk tubuh badan menjadi menarik.
  4. Dapat mengurangkan tekanan (stress) kerana berjalan dapat merangsang penghasilan hormon endorfin yang membuatkan kita lebih ceria dan sihat.
  5. Dapat menyihatkan jantung dan merendahkan paras kolesterol.
  6. Dapat mengurangkan risiko penyakit diabetes kerana berjalan dapat meningkatkan keupayaan badan untuk memproses gula dengan lebih baik dan melancarkan sistem aliran darah.
  7. Dapat mengekalkan kekuatan otot.
  8. Dapat mengurangkan risiko osteoporosis.
  9. Dapat mengekalkan kestabilan dan mengurangkan risiko jatuh terutama kepada golongan warga emas.
  10. Dapat meningkatkan keyakinan diri.

7 APRIL2024

5/2024 ““PENTINGKAH SUNTIKAN TIFOID?”

Malaysia dikenali dengan negara yang kaya dengan pelbagai jenis makanan dan variasi serta disediakan dengan pelbagai jenis gaya masakan. Dalam masa yang sama, kes keracunan makanan juga sering berlaku di dalam negara ini. Bagaimana keracunan makanan boleh terjadi? 

 

Salah satu faktor yang menjadi penyebab keracunan makanan adalah disebabkan penularan penyakit demam kepialu atau tifoid. Demam kepialu ini adalah disebabkan oleh bakteria “Salmonella typhi (S. typhi)”. Ia boleh ditemui dalam air kumbahan yang tidak dirawat dengan baik. Selain itu, bakteria ini juga biasanya terdapat di dalam darah, urin dan najis pesakit juga najis pembawa.  Apa perbezaan antara pesakit dan pembawa?

 

Pesakit adalah orang yang sedang menghidapi penyakit demam kepialu manakala pembawa adalah seseorang yang telah sembuh dari penyakit ini atau yang tidak sakit tetapi mampu membawa bakteria Salmonella typhi ini di dalam badannya. Pembawa boleh menyebarkan bakteria ini melalui sisa najis dan kurangnya penjagaan dari aspek kebersihan. 

 

Untuk pengetahuan warga, bakteria ini boleh disebarkan oleh pembawa sekiranya dia atau mereka tidak mencuci tangan dengan bersih selepas selesai menggunakan tandas. Bakteria ini juga boleh merebak melalui penggunaan air yang tercemar dan hinggapan lalat yang membawa bakteria Salmonella typhi ini pada makanan atau minuman yang kita akan makan. 

 

Di bawah ini adalah tanda-tanda seseorang yang dijangkiti demam kepialu. Antaranya adalah:

  1. Demam panas berpanjangan
  2. Sakit kepala
  3. Sakit badan/lemah/letih lesu 
  4. Kurang selera makan
  5. Tidak sedarkan diri dan meracau
  6. Sembelit
  7. Cirit-birit
  8. Sakit perut
  9. Mata layu dan cengkung
  10. Ruam (bintik merah pada bahagian atas badan)

 

Tahukah anda, bakteria ini sangat mudah tersebar dan ia adalah salah satu penyakit bawaan makanan yang boleh meragut nyawa. Oleh itu, adalah amat penting bagi kita untuk mencegah wabak penyakit ini sebaiknya. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius tentang isu demam kepialu ini dan MEWAJIBKAN setiap pengendali makanan berfokus jualan perlu mengambil suntikan anti-tifoid ini setiap 3 tahun. Kewajiban ini boleh ditemui di dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

 

Bagi menyokong usaha KKM, Pusat Kesihatan UMT turut menyediakan perkhidmatan suntikan berbayar anti-tifoid kepada warga dan bukan warga UMT. Suntikan ini amat disarankan untuk diambil oleh orang yang terutamanya ingin menjual makanan dan minuman. Suntikan ini juga perlu diambil sebaiknya sebelum mula menjual tidak kira status premis sama ada kiosk, gerai, kafetaria atau trak makanan. Tindakan anda sebagai pengendali makanan yang memandang serius penyakit ini dan mengambil suntikan anti-tifoid amat dihargai.

10 MAC 2024

6/2024 “HINDARI KERACUNAN MAKANAN DI BULAN RAMADHAN”

Tidak lama lagi akan masuknya bulan mulia Ramadhan. Semua warga sudah lakukan persiapan untuk berpuasa ke? Seperti yang semua tahu, bulan puasa tidak berpisah dengan jualan makanan Bazar Ramadhan. Apa yang nak ditekankan adalah betapa PENTINGNYA MEMILIH MAKANAN yang SELAMAT untuk dimakan terutama di bulan Ramadhan.

 

Ini kerana kita telah berpuasa sepanjang hari, sekiranya termakan makanan yang basi atau rosak, ia akan membuatkan badan kita lebih lemah untuk melawan kesan keracunan makanan berbanding bulan yang lain. Bagi memastikan warga memilih makanan yang selamat, di bawah ini ada disediakan beberapa tips memilih makanan dan tindakan sebelum makan. Antara tips memilih makanan yang selamat adalah:

  1. Memperhatikan keadaan premis makanan yang ingin dibeli berada dalam keadaan bersih dan kemas.
  2. Pengendali makanan tersebut memakai apron dan penutup kepala yang bersih.
  3. Pengendali makanan menggunakan peralatan yang bersih (sudip/senduk/pengepit) sewaktu penyediaan makanan atau pembungkusan, bukan menggunakan tangan atau peralatan yang kotor.
  4. Memperhatikan makanan yang telah siap untuk dijual berada dalam bekas bertutup atau dilindungi dari gangguan serangga seperti lalat dan lipas.
  5. Memastikan makanan yang dijual kelihatannya berada di dalam keadaan yang baik.

 

Tips di atas adalah sebelum membeli makanan manakala tips di bawah ini adalah sebelum warga memakan makanan yang telah dibeli.

  1. Warga disarankan untuk mengamalkan LIHAT, HIDU dan RASA sebelum makan makanan. Jangan makan makanan tersebut sekiranya ada yang pelik seperti keadaan yang berbuih / berlendir, bau busuk atau basi dan rasa yang masam atau makanan tersebut tidak sepatutnya mempunyai rasa seperti itu.
  2. Sekiranya hendak MAKAN MAKANAN DI MASA KEMUDIAN, pastikan makanan tersebut disimpan dengan segera di dalam peti sejuk dan dalam keadaan bekas yang bertutup. 
  3. Sekiranya makanan yang dibeli adalah untuk kegunaan sahur, makanan hendaklah disimpan dengan baik, DIPANASKAN DENGAN SEMPURNA terlebih dahulu sebelum dimakan.

21 MAC 2024

7/2024 - INFO SIHAT: “RAWATAN KESIHATAN YANG TIDAK MEMBATALKAN PUASA DI BULAN RAMADHAN”

Bulan Ramadhan adalah bulan di mana umat Islam yang memenuhi syarat adalah wajib berpuasa. Dalam kita berpuasa, kita tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa seperti makan dan minum serta sengaja mencari penyakit untuk tidak berpuasa. Namun begitu, sekiranya warga betul-betul mempunyai masalah kesihatan, warga disarankan untuk mendapatkan bantuan rawatan terlebih dahulu di pusat rawatan berhampiran kerana kesihatan diri harus diutamakan. 

Untuk makluman warga, terdapat beberapa rawatan kesihatan yang TIDAK MEMBATALKAN PUASA. Antaranya ialah: 

  1. Suntikan yang tidak memberi tenaga (Contohnya: vaksin, ubat tahan sakit)
  2. Suntikan insulin
  3. Ubat titis mata dan telinga
  4. Ujian darah
  5. Ubat kumur
  6. Tablet sublingual (dengan syarat diletakkan di bawah lidah dan tidak ditelan)
  7. Mencabut gigi
  8. Swab test (melalui tekak atau hidung)
  9. Menderma darah/ berbekam: makruh jika melemahkan badan
  10. Rawatan dialisis untuk pesakit buah pinggang sama ada hemodialisis atau peritoneal dialysis 
  11. Memasukkan tiub kecil (catheter) melalui salur darah bagi tujuan pemeriksaan seperti prosedur angiogram untuk pemeriksaan jantung
  12. Menjalani biopsy iaitu pengambilan specimen atau cebisan daripada organ untuk tujuan analisa makmal

Sekiranya warga masih tidak pasti tentang rawatan yang akan diterima, warga boleh dapatkan penerangan dan rawatan dahulu serta saranan daripada Doktor atau perawat kerana mereka lebih tahu tentang penggunaan ubat kepada pesakit sama ada boleh berpuasa atau terpaksa berbuka. 

Hal ini kerana dalam Islam, meskipun berpuasa itu wajib, tetapi sekiranya dengan berpuasa akan memudharatkan lagi tahap kesihatan pesakit, pesakit DIHARUSKAN atau DIWAJIBKAN berbuka puasa. Walau bagaimanapun, pemberat sebab untuk berbuka atau teruskan berpuasa bergantung kepada pendapat perawat pesakit tersebut tentang keadaan pesakit ketika itu. 

28 MAC 2024

8/2024 - INFO SIHAT: “APA ITU STROK HABA?”

Malaysia sememangnya sinonim dengan cuaca yang panas disebabkan faktor geografinya yang hampir dengan garisan Khatulistiwa. Namun demikian, akhir-akhir ini cuaca panas melampau tahap 1 telah melanda beberapa kawasan di negeri Perlis, Langkawi, Kedah, dan Pulau Pinang. Terdapat juga beberapa kawasan lain yang berada di negeri Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak turut mengalami cuaca panas melampau ini.

 

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini ada memaklumkan bahawa Malaysia berada dalam fasa akhir monsun timur laut. Keadaan ini secara lazimnya menyaksikan kawasan utara Semenanjung mengalami litupan hujan dan taburan hujan yang kurang selain menyebabkan cuaca lebih panas serta kering berbanding kebiasaan.

 

Untuk makluman warga, seseorang boleh mengalami kelesuan haba jika terdedah terlalu lama dalam cuaca panas melampau ini diikuti penyahhidratan (dehydration) atau kurangnya air dalam badan. Strok haba boleh berlaku rentetan seseorang yang sedang mengalami kelesuan haba tetapi tidak mengambil langkah kawalan untuk kurangkan suhu badannya atau masih terdedah pada keadaan suhu melampau yang sama. 

 

Strok haba bukan perkara yang boleh diabaikan begitu sahaja ya. Seseorang yang mengalami strok haba boleh jatuh koma mahupun meninggal dunia sekiranya badannya terlalu panas dan berada dalam fasa penyahhidratan yang terlampau. Bagi membantu warga mencegah strok haba di musim panas ini, di bawah ini ada beberapa tips dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang boleh diikuti. Antaranya ialah: 

 

  1. Banyakkan minum air kosong tanpa mengira tahap aktiviti fizikal.
  2. Lebihkan masa berada di dalam rumah / pejabat dan hadkan aktiviti luar.
  3. Kurangkan minum minuman berkafein, alkohol dan bergula.
  4. Guna kipas atau pendingin hawa untuk menyejukkan badan.
  5. Pakai pakaian yang ringan, berwarna terang dan longgar.
  6. Tidak duduk di dalam kenderaan yang bertutup tanpa pendingin hawa.
  7. Pakai topi / payung untuk melindungi daripada pancaran haba terus ke badan.

8 APRIL 2024

9/2024 - INFO SIHAT: “KETAHUI JUMLAH KALORI MAKANAN DI HARI AIDILFITRI”

Hari Raya akan tiba tidak lama lagi. Semua mesti tidak sabar untuk pulang beraya bersama keluarga kan? Tapi dalam keseronokan beraya sakan sambil layan pelbagai juadah raya nanti, elok juga kalau kita ambil tahu dahulu tentang kalori-kalori makanan popular di Aidilfitri. Jadi warga boleh beringat jangan terlalu dalam ‘mood’ raya sampai terlupa kawal pemakanan seharian.

Warga boleh rujuk infografik yang disediakan di bawah. Sedar tak sedar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah lama berkongsi tentang jumlah kalori kuih-muih Aidilfitri ini agar rakyat Malaysia menjaga pemakanan walaupun sedang dalam mood raya sakan.

17 APRIL 2024

10/2024 - INFO SIHAT: “APA ITU HEMOFILIA”

Setiap 17 April merupakan hari sambutan Hemofilia Sedunia dan kami ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan “Selamat Hari Hemofilia Sedunia” kepada semua warga. Di sini kami sertakan sedikit info berkaitan apa itu hemofilia. 

Hemofilia adalah sejenis penyakit warisan yang berpunca dari kekurangan faktor pembekuan darah. Untuk pengetahuan warga, seseorang yang mengidap penyakit hemofilia, orang itu akan mengalami pendarahan yang berkelanjutan walaupun daripada luka yang kecil.

Perkara ini boleh menjadi serius atau boleh merisikokan nyawa sekiranya luka yang dialami adalah bersaiz besar. Ini kerana jumlah darah yang mengalir keluar lebih banyak dan tidak berhenti berbanding orang yang sihat menyebabkan pesakit tersebut boleh kehilangan darah yang lebih banyak dari badannya.

Di sini disertakan langkah-langkah sekiranya pesakit hemofilia mengalami pendarahan dan apa yang boleh dilakukan bagi mengurangkan pengeluaran darah yang lebih banyak mengikut akronim RICE:

  1. Rest (Rehat) – Rehatkan sendi atau anggota yang tercedera.
  2. Ice (Ais) – Letakkan ais pada tempat/ bahagian anggota yang tercedera. Alaskan ais dengan kain sebelum meletakkan pada tempat yang tercedera antara 10-20 minit.
  3. Compress (Tekan) – Tekan tempat pendarahan (apply pressure) atau balut tempat luka / sendi yang terlibat. Jangan ikat sendi terlalu ketat.
  4. Elevation (Elevasi) – Naikkan sendi atau anggota yang terlibat lebih tinggi daripada aras dada.

25 APRIL 2024

11/2024 - INFO SIHAT: “KURANGKAN KALORI AIDILFITRI DENGAN SENAMAN”

Sesudah sebulan kita berpuasa, kini Syawal menjelma. Mesti semua beraya sakan kan? Cuba periksa, berat yang turun di bulan Ramadhan sudah naik semula ke tak. Kalau ya, itu tandanya kita perlu tambahkan aktiviti kecergasan tau.

 

Seperti warga sedia tahu, jumlah anggaran kalori untuk pelbagai juadah Aidilfitri telah dikongsikan sebelum ini. Untuk pengetahuan warga, kalori yang diambil boleh dikurangkan dengan mengamalkan aktiviti kecergasan dan gaya hidup sihat.

9 MEI 2024

12/2024 - INFO SIHAT:CUACA PANAS DI TERENGGANU

Mengikut kenyataan yang diberikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), fenomena El Nino di negara kita dijangka akan beransur neutral dan digantikan dengan fenomena La Nina pada pertengahan Jun – Ogos nanti. Tahukah warga apa itu El Nino dan La Nina?

 

El Nino adalah di mana keadaan cuaca panas dan kering atau dikenali sebagai fasa pemanasan berlaku. Fenomena La Nina adalah sebaliknya iaitu cuaca sejuk dan lembap di mana hujan akan berlaku lebih kerap atau dikenali sebagai fasa penyejukan. Dua peristiwa ini dikaitkan dengan perubahan angin monsun Barat Daya dan Timur Laut. 

 

Walaupun negara kita kini berada dalam perubahan monsun, namun cuaca panas masih lagi melanda. Pendedahan kepada gelombang haba dan cuaca panas boleh menyebabkan kesan kesihatan yang ringan seperti ruam (rash) dan selaran matahari (sunburn) sehingga boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan yang banyak. Kehilangan air yang lebih banyak boleh memberi kesan yang lebih teruk seperti kekejangan otot (heat cramp), kelesuan haba (heat exhaustion) dan strok haba (heat stroke) apabila suhu badan mencapai 40°C. 

 

Untuk pengetahuan warga, sehingga 29 April 2024, JKNT telah menerima 3 kes strok haba dan 2 kes kelesuan haba. Setakat ini 3 darinya telahpun sembuh manakala dua orang lagi masih dalam rawatan. Info tambahan, cuaca yang panas dan kering ini juga boleh menyebabkan kebakaran berlaku secara tiba-tiba. Banyak kejadian kebakaran yang direkodkan. Kesan daripada kebakaran ini termasuk kepulan asap yang banyak di merata-rata tempat terutama di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

 

Kepulan asap yang berlebihan ini juga turut memberi kesan kesihatan kepada orang awam terutama kepada warga emas, orang yang ada resdung atau asma yang masalah kesihatan yang berkaitan. Sekiranya warga mengalami masalah kesihatan yang sebegini, warga disarankan untuk mendapatkan rawatan di Pusat Kesihatan Universiti atau fasiliti perubatan yang berdekatan. Warga yang turut terkesan dinasihatkan agar memakai topeng muka dan minum air secukupnya bagi mengurangkan kesan pencemaran udara ini.

 

Bagi mencegah strok haba pula daripada berlaku dalam kalangan warga, di sini disertakan beberapa tips oleh pihak JKN: 

 

  1. Minum air masak secukupnya dan kurangkan minum air beralkohol atau berkafein.
  2. Hadkan aktiviti di luar rumah, sekiranya tidak dapat dielakkan, disarankan guna topi atau payung bagi kurangkan pendedahan kepada cuaca panas.
  3. Mandi dengan kerap / basahkan badan/ pakaian.
  4. Sebolehnya berada di dalam rumah atau bangunan yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik.
  5. Tangguhkan aktiviti lasak seperti berkayak, berbasikal, memanjat gunung atau sebagainya selagi gelombang haba masih ada. Sekiranya tidak boleh dielakkan, pendekkan tempoh masa aktiviti dan banyakkan rehat dan minum air secukupnya.

16 MEI 2024

13/2024 - INFO SIHAT: PUNCA KERACUNAN MAKANAN DAN KESANNYA

Keracunan makanan bukan perkara yang asing lagi dalam kalangan kita. Saban hari kita akan dikejutkan dengan kes keracunan makanan sama ada dalam skala kecil atau skala besar. Baru-baru ini, 28 April 2024, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) ada menerima laporan kes melibatkan 7 orang yang mengalami mulut berbuih, muntah dan cirit-birit kerana memakan kuih ketayap di Pasar Bukit Payong Terengganu. Untuk kes yang berskala lebih besar, kita boleh rujuk kes pada 22 April 2024 di mana 75 orang pelajar di sebuah sekolah menengah di Kota Bharu mengalami keracunan makanan selepas makan nasi bungkus, kuah gulai dan ayam goreng yang disediakan di sekolah. 

 

Selain itu, pada tahun lepas, satu kes viral seorang wanita berusia 54 tahun meninggal dunia kerana keracunan makanan dipercayai memakan roti sandwich yang telah basi di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing Terengganu pada 22 Disember 2023. Justeru warga perlu tahu, keracunan makanan bukan hanya berakhir dengan muntah dan cirit-birit semata-mata, malah boleh mengakibatkan kematian.

 

Untuk pengetahuan warga, keracunan makanan adalah satu penyakit akut yang boleh berlaku secara tiba-tiba kebiasaannya disebabkan makan makanan yang tercemar atau beracun. Berikut adalah antara punca terjadinya keracunan makanan:

 

  1. Bakteria – Bakteria seperti Salmonella sp, Escherichia coli (E.coli), Campylobacter dan Listeria monocytogenes adalah penyebab umum keracunan makanan. Bakteria ini boleh ditemukan pada makanan mentah atau makanan yang tidak dimasak dengan baik.
  2. Virus – Virus seperti Norovirus atau Hepatitis A boleh mencemarkan makanan atau minuman sekiranya terdedah dengan partikel virus dari individu yang sakit.
  3. Parasit – Parasit seperti Cryptosporidium, Giardia dan Trichinella dapat menular melalui makanan dan minuman yang terdedah oleh air yang tercemar atau makanan yang tidak dimasak dengan betul.
  4. Cendawan beracun – Cendawan seperti Amanita phalloides (kurap) dan Claviceps purpurea (kapang gandum) menghasilkan toksin yang boleh mencemarkan makanan yang terdedah dengannya. 
  5. Bahan kimia beracun – Bahan kimia seperti racun serangga, sabun atau bahan pembersih atau logam berat yang tidak sengaja terdedah dengan makanan juga boleh menyebabkan keracunan makanan.
  6. Alatan memasak yang tidak bersih – Alat memasak yang kotor dan terdedah dengan bakteria juga boleh menyumbang kepada berlakunya keracunan makanan.
  7. Penyimpanan makanan yang tidak betul – Penyimpanan makanan dalam suhu yang tidak betul dan dalam keadaan sanitasi yang buruk juga boleh menyebabkan keracunan makanan.

 

Seseorang yang keracunan makanan boleh mengalami gejala ringan hingga teruk bergantung kepada punca keracunan makanan. Beberapa gejala umum yang biasanya dialami pesakit adalah muntah, cirit-birit, sakit perut, demam, menggigil, sakit kepala, dehidrasi dan gangguan pencernaan seperti kembung perut dan memulas. 


Sekiranya warga mengalami gejala-gejala seperti ini, warga disarankan untuk mendapatkan rawatan segera di Pusat Kesihatan Universiti atau fasiliti perubatan yang berdekatan. Warga perlu cakna bahawa kes keracunan makanan bukan perkara yang boleh dianggap remeh kerana ia berisiko mengakibatkan kematian sekiranya keadaan pesakit terlalu teruk.

6 JUN 2024

15/2024 - INFO SIHAT: APA ITU TIBI?

Penyakit tibi tersebar melalui udara disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis dan organ utama yang menjadi tumpuannya adalah paru-paru (pulmonary TB). Namun begitu, sesetengah kes membuktikan adanya serangan terhadap organ lain termasuk otak (meningitis TB), tulang belakang (spinal TB), kelenjar limfa (lymph node TB), perut (abdominal TB) dan lain-lain. 

 

Gejala yang terjadi disebabkan Tibi adalah batuk yang berpanjangan lebih dua (2) minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah. Mereka yang berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit tibi seperti pesakit HIV, pesakit buah pinggang kronik, penghidap pulmonari kronik (jenis obstruktif), perokok aktif dan individu yang ada kontak kepada kes Tibi amat disarankan untuk menjalani saringan Tibi. 

 

Untuk pengetahuan warga, terdapat juga individu yang dikategorikan sebagai pesakit Jangkitan Tibi Laten (Latent TB Infection atau LTBI) di mana keadaan tindak balas sistem imun badan pesakit yang berterusan terhadap rangsangan antigen Mycobacterium tuberculosis tanpa ada bukti klinikal tibi aktif. Seseorang yang dijangkiti LTBI ini tidak akan menunjukkan sebarang gejala sakit, kelihatan sihat malah tidak menyebarkan jangkitan tibi kepada orang lain. Namun begitu, pesakit LTBI berisiko 10% hingga 15% untuk dijangkiti penyakit Tibi. Kebanyakan orang yang mempunyai LTBI adalah terdiri daripada golongan berisiko tinggi seperti individu pesakit HIV, kontak kes tibi dan orang yang ada sistem imun badan yang rendah.

 

Rawatan kini bagi penyakit tibi adalah gabungan kombinasi ubatan antibiotik yang perlu diambil setiap hari dalam tempoh tidak kurang dari enam (6) bulan. Sokongan ahli keluarga, majikan, rakan-rakan dan masyarakat amat memainkan peranan yang penting bagi memastikan pesakit tidak terhenti rawatan. Pesakit yang berhenti menerima rawatan boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). 

 

Untuk makluman warga, tanggal 24 Mac adalah merupakan tarikh sambutan Hari Tibi Sedunia yang akan disambut setiap tahun bagi memperingati sejarah penemuan bakteria Mycobacterium tuberculosis oleh Dr. Robert Koch pada 24 Mac 1882. Bertemakan “Yes, We Can End TB” atau “Ya, Kita Boleh Hentikan Tibi”, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia menyeru sokongan dan komitmen setiap individu dan lapisan masyarakat bagi menggembleng usaha, tenaga, kepakaran, inovasi, serta meningkatkan pelaburan bagi menghentikan penularan Tibi di negara ini.

 

Pada tahun 2023, negeri Terengganu telah dipilih menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Tibi Sedunia peringkat Kebangsaan. Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah dipilih untuk bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bagi menjayakan Majlis Sambutan Hari Tibi ini bertempat di Dewan Sultan Mizan. Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan iaitu YB Tuan Lukanisman bin Awang Sauni. 

 

Akhir kata, sekiranya ada warga yang mempunyai gejala seperti yang dinyatakan di atas, anda disarankan hadir ke Pusat Kesihatan Universiti (PKU) atau fasiliti perubatan yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut. Di sini juga disertakan infografik berkaitan Tibi dan LTBI serta kaedah saringan yang akan dijalankan kepada individu yang berpotensi dijangkiti penyakit Tibi.

13 JUN 2024

16/2024 - INFO SIHAT: UNIVERSITI SEBUAH TEMPAT LARANGAN MEROKOK

Rokok tembakau merupakan satu benda yang boleh dikategorikan sinonim dengan budaya kehidupan masyarakat Malaysia sejak dari dahulu lagi. Namun begitu, ia adalah suatu benda yang merangkumi begitu banyak aspek keburukan terutama dalam bidang kesihatan. Sudah terlalu banyak isu yang diketengahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyedarkan masyarakat kita tentang bahayanya rokok.

 

Sikap tidak cakna dan tidak ambil peduli dengan isu keburukan rokok boleh mengganggu gugat kesihatan masyarakat kita. Ini kerana rokok bukan hanya boleh merosakkan kesihatan perokok, malah orang sekeliling mereka terutama kanak-kanak.

 

Tahukah warga tentang perokok pasif? Perokok pasif atau perokok kelas kedua (second-hand smoker) adalah orang yang tidak merokok tetapi berada di sekeliling orang yang menghisap rokok. Mereka juga boleh mendapat masalah kesihatan walaupun tidak merokok. Asap rokok yang dihasilkan mengandungi pelbagai jenis bahan kimia berbahaya yang boleh memberi masalah kesihatan yang serius kepada orang yang menghidunya. Justeru adalah tidak adil bagi orang yang tidak merokok tetapi turut terjejas kesihatannya kesan daripada hidu asap rokok.

 

Selain itu, warga juga harus cakna tentang sisa asap basi (third-hand smoke). Sisa asap basi adalah sisa rokok dalam bentuk habuk atau kimia yang melekat pada baju, kulit, tombol pintu, atau benda yang bersentuhan atau berdekatan dengan perokok semasa perokok menghisap rokok. Asap yang melekat di kusyen, pintu, baju, atau beg yang dibawa pulang ke rumah dan dihidu pula oleh anak-anak kecil sedikit sebanyak memberi kesan buruk kepada kesihatan mereka kerana daya imun badan mereka masih lemah. 

20 JUN 2024

17/2024 - INFO SIHAT: GLOBAL ADULT TOBACCO SURVEY (GATS) DAN VAPE

Pada tahun 2023 yang lepas, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) untuk menjalankan satu tinjauan dikenali dengan nama Global Adult Tobacco Survey (GATS)

 

Hasil tinjauan GATS 2023 menunjukkan masyarakat belia kini lebih bertumpu kepada rokok elektronik yang lebih dikenali sebagai vape atau e-cigarette berbanding rokok tembakau. Peratus peningkatan pengguna rokok elektronik bertambah sebanyak 5% berbanding hanya 0.8% pada tahun 2011. 

 

Tahukah warga, bahan kimia yang terkandung dalam rokok elektronik jauh lebih berbahaya berbanding rokok tembakau kerana campuran kimia yang pelbagai dengan jumlah yang tidak diketahui kuantitinya boleh mengancam kesihatan malah meragut nyawa individu yang menggunakannya. Ini kerana campuran yang dihasilkan kebanyakannya tanpa sumber rujukan yang jelas dan tiada pantauan dari sumber sahih yang disahkan selamat.

 

Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak KKM bagi mengurangkan jumlah pengguna rokok atau rokok elektronik ini. Salah satu langkah untuk mengurangkan jumlah pengguna rokok dan rokok elektronik ini adalah dengan penguatkuasaan Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023. Antara intipati dalam rang undang-undang ini adalah termasuk:

 

  • Pendaftaran produk tembakau
  • Larangan pengiklanan, promosi dan jualan produk tembakau atau produk pengganti tembakau seperti rokok elektronik
  • Larangan penjualan produk merokok kepada orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya
  • Kawasan atau tempat larangan merokok
  • Kompaun bagi yang disabit melakukan kesalahan

 

Penguatkuasaan rang undang-undang ini akan dilaksanakan mulai Jun 2024. Bagi menyokong usaha KKM mengurangkan jumlah pengguna rokok atau rokok elektronik, pihak Pusat Kesihatan Universiti (PKU) juga ada menyediakan Klinik Berhenti Merokok (KBM) di mana akan bantu warga yang ingin berhenti merokok.

21 JULAI 2024

18/2024 - INFO SIHAT: KERACUNAN MAKANAN

Akhir-akhir ini,  ada sahaja kes keracunan makanan dilaporkan di platform media massa dan media sosial. Kes ini bukan sekadar simptom umum seperti cirit-birit dan muntah yang dinyatakan malah juga boleh meragut nyawa. 

Sebagai langkah pencegahan dan peringatan kepada warga, jom kita sama- sama kenalpasti faktor berlakunya keracunan makanan.

  • Faktor penyimpanan makanan.
  • Penyimpanan makanan adalah sangat penting terutama penyimpanan bahan mentah. Ia merangkumi kaedah penyimpanan, tempat penyimpanan dan susunan penyimpanan. Kita tidak boleh sewenangnya menyimpan makanan ikut suka sahaja, tetapi perlu menitikberatkan jenis dan bagaimana makanan itu harus disimpan supaya keselamatan dan kualiti makanan tersebut terpelihara.
  • Faktor masa masakan dan hidangan.
  • Masa yang selamat antara waktu masakan dan makanan dimakan adalah dalam durasi 4 jam. Sekiranya waktu melebihi 4 jam, potensi makanan itu tercemar adalah tinggi sekiranya tiada langkah kawalan penjagaan suhu diambil bagi memastikan makanan tersebut selamat untuk dimakan.
  • Faktor pengendali makanan.
  • Pengendali makanan adalah orang yang mengendalikan makanan daripada mentah hingga siap menjadi hidangan. Bagi memastikan keselamatan orang awam, pengendali makanan yang bertujuan menjual wajib mengambil kursus Pengendali Makanan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mendapatkan suntikan tifoid. 

 

  • Faktor suhu.
  • Setiap hidangan yang dimasak perlu mencapai takat didih yang betul. Terdapat risiko yang boleh memberi kesan kesihatan sekiranya makanan tidak masak secukupnya.
  • Faktor kebersihan.
  • Kebersihan adalah perkara yang harus dititikberatkan dengan serius kerana disebabkan tahap kebersihan yang kurang akan menyebabkan risiko makanan tercemar lebih tinggi. Pengendali makanan harus menjaga kebersihan diri sebelum memulakan aktiviti mengendalikan makanan agar keselamatan makanan dapat dijaga.
  • Faktor alatan memasak yang digunakan.
  • Alatan memasak yang digunakan seharusnya bersih, elok dan selamat untuk digunakan, bukannya yang patah, kotor atau sumbing. 

Dengan beberapa faktor yang diterangkan seperti di atas, diharap dapat membantu sedikit sebanyak dalam memastikan keselamatan makanan lebih terjaga

21 JULAI 2024

19/2024 - INFO SIHAT: HIDUP BERSAMA COVID-19

Malaysia kini berada dalam fasa peralihan untuk hidup bersama Covid-19. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan pernyataan untuk kita mulakan cara hidup bersama Covid-19 yang berkuatkuasa 15 Julai 2024.

 

Untuk makluman semua, terdapat beberapa perkara yang telah diubah bagi menyesuaikan gaya hidup kita bersama Covid-19. Antaranya adalah:

 

  1. Tiada lagi penggunaan ‘Home Surveillance Order’ di dalam MySejahtera diberikan kepada pesakit Covid-19.
  2. Isolasi sementara diberikan kepada pesakit Covid-19 menggunakan Sijil Cuti Sakit (MC) bergantung kepada keperluan dan keadaan kesihatan pesakit ketika dirawat. Tidak semua pesakit Covid-19 mendapat Sijil Cuti Sakit.
  3.  Penggunaan ujian Covid-19 bukan lagi untuk saringan tetapi bertujuan sebagai rawatan.
  4. Ujian pengesahan Covid-19 hanya melalui RTK-Antigen profesional (yang diselia atau dilakukan oleh petugas kesihatan) dan PCR.
  5. Tidak perlu lagi memuat naik keputusan ujian Covid-19 ke dalam aplikasi MySejahtera.
  6. Majikan sektor swasta boleh meminta pekerja positif Covid-19 untuk hadir bekerja berdasarkan polisi syarikat.
  7. Pesakit Covid-19 yang hadir bekerja digalakkan menjaga jarak dan sentiasa memakai pelitup muka bagi mengurangkan potensi jangkitan kepada orang sekeliling yang lain.
  8. Pesakit positif Covid-19 yang tinggal di asrama digalakkan untuk tinggal di bilik isolasi sementara bagi mengurangkan potensi penularan jangkitan dan memudahkan pergerakan.
  9. Setiap kes positif Covid-19 perlu mengisi borang manual notifikasi untuk proses notifikasi kepada Pejabat Kesihatan.

 

Sehubungan itu, warga diingatkan untuk sentiasa menjaga kesihatan diri. Bagi mereka yang positif Covid-19, anda perlu sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan anda di mana sahaja anda berada bagi mengurangkan kadar jangkitan kepada orang sekeliling. Semoga warga sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera dan dijauhi dari jangkitan Covid-19.

Skip to content