Sep 15 2015

CIRIT-BIRIT -BAHAGIAN 2

CIRIT BIRIT BAHAGIAN 2

Apakah tanda-tanda yang bahaya yang perlu diberi perhatian?

Dapatkan rawatan dengan segera sekiranya anak anda ada tanda-tanda ini:

* Tanda-tanda dehidrasi.
* Darah pada najis atau najis bewarna kehitaman.
* Cirit-birit yang berterusan hingga melebihi 48 jam.
* Susut berat badan.
* Keadaan mengantuk atau kelalian.
* Demam > 38°C.
* Enggan makan.

Apakah kesan komplikasi cirit-birit yang teruk?

* Organ badan tidak berfungsi termasuk kegagalan ginjal.
* Jangkitan sistemik melibatkan keseluruhan badan (systemic infection).
* Kurang toleransi terhadap laktosa peringkat sekunder (secondary lactose intolerance).
* Rasa sakit di sekeliling kawasan dubur.
* Kematian.

Bagaimana mengurus kanak-kanak yang mendapat cirit-birit?

Rehidrasi

* Adalahpenting untuk menggantikan air dan mineral dalam badan yang hilang untuk mencegah dehidrasi.
* Teruskan penyusuan susu ibu disamping memberi minum air garam rehidrasi (oral rehydration salt – ORS).
* Sekiranya bayi tidak menyusu badan, teruskan memberi bayi makanan biasa dan minum air garam rehidrasi.
* Gunakan sudu atau picagari kecil untuk memberi ORS sebanyak yang mungkin dan biasanya tidak melebihi apa yang anak anda boleh minum. Sekiranya anak anda mempunyai tanda dehidrasi atau tanda-tanda yang bahaya atau anda tidak pasti apa yang perlu dibuat, sila jumpa doktor anda untuk rawatan lanjut.

Fasa pemulihan

* Apabila keadaan anak bertambah baik, teruskan memberi ORS dan menyusu badan. Dengan perlahan-lahan tambahkan jumlahnya apabila selera anak anda telah kembali.
* Makanan biasa boleh dimulakan selepas 24 hingga 48 jam jika anak anda terus bertambah pulih.
* Keadaan najis mungkin akan mengambil masa sehingga 7 hari untuk kembali seperti biasa (sebahagian daripada proses pemulihan).

Susu

* Elakkan daripada menukar susu formula sesuka hati.
* Dapatkan nasihat doktor jika anda rasa susu formula yang anda berikan kepada anak anda tidak sesuai untuknya.

Ubat-Ubatan

Ubat untuk menghentikan cirit-birit hendaklah dielakkan kerana:

* Tidak selamat untuk bayi dan kanak-kanak.
* Akan mengganggu keupayaan badan untuk menghapuskan jangkitan.

Antibiotik

* Secara umumnya tidak perlu tetapi kadang kala diberi oleh doktor untuk jangkitan bakteria usus yang jarang-jarang berlaku. Sila dapatkan nasihat doktor mengenai rawatan ini.
Krim-krim sapu

* Krim seperti jeli petrolium dan zink oksida boleh membantu melegakan kesakitan bahagian punggung bayi yang sakit.
Rawatan untuk cirit-birit berlarutan (kronik)

* Penilaian dan siasatan lanjut perlu dilakukan oleh doktor sebelum menentukan rawatan yang khusus untuk kes-kes cirit-birit berlarutan yang biasanya disebabkan oleh penyakit serius.
Bagaimana cirit-birit boleh dicegah daripada kanak-kanak?

* Pastikan air minuman anak anda bersih dan dimasak.
* Pastikan anak anda gunakan alatan yang bersih untuk makanan dan minuman.
* Untuk kanak-kanak yang menggunakansusu botol, pastikan botol bayi disterilkan.
* Elak makanan yang mentah kecuali disediakan oleh anda sendiri dengan bersih.
* Cuci tangan dengan bersih selepas menyediakan makanan mentah seperti daging, menggunakan tandas, menukar lampin dan sebelum memegang makanan.
* Buang lampin pakai dengan betul.

Permanent link to this article: http://pku.umt.edu.my/?p=3801

Sep 15 2015

DEMAM DENGGI

DEMAM DENGGI

NYAMUK DENGGI

PENGENALAN

Demam denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes Aegypti yang telah dijangkiti.

Terdapat empat (4) jenis virus yang boleh menyebabkan demam denggi (DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4).

Jangkitan oleh salah satu jenis virus akan memberikan imuniti terhadap virus jenis itu sahaja, jika individu tinggal di kawasan jangkitan denggi, mereka boleh di jangkiti lebih dari sekali seumur hidupnya.

Lebih 100 negara di Asia Selatan, Asia Tenggara, Afrika, Amerika Timur Mediterranean dan Pasifik Barat mengalami masalah denggi.

Tanda dan gejala

* Kebiasaannya demam akan terjadi pada hari ke tiga (3) hingga ke empat belas (14) selepas digigit oleh nyamuk yang dijangkiti, kebiasaannya di antara 4 hingga 7 hari.
* Selalunya ia akan bermula dengan demam kuat yang mengejut, sakit kepala yang teruk/kuat, sakit pada bahagian belakang mata serta otot-otot dan sendi-sendi. Ruam merah di kulit juga boleh terjadi.
* Demam ini boleh mencapai suhu 40 – 41 C, dan selalunya akan berlarutan selama 2 hingga 7 hari. Ia juga boleh menyebabkan serangan sawan dikalangan kanak-kanak di bawah umur 6 tahun. Sakit teruk pada tulang-tulang, otot-otot dan sendi-sendi. Demam denggi ini juga dikenali sebagai “breakbone fever”.
* Ruam selalunya akan tumbuh pada hari ke 3 dan 4 selepas bermulanya demam.
* Muntah dan kurang selera makan.

PEMASTIAN DIAGNOSA PENYAKIT

Antibodi akan dikesan di dalam darah (Dengue IgM) (Antibodi yang dihasilkan oleh sistem pertahanan badan untuk melawan jangkitan).

Ujian PCR (kaedah mengesan genetik virus) boleh mengesan virus denggi di dalam darah dan nyamuk boleh didapati di sesetengah makmal.

NSI antigen: Satu lagi test yang mengesan virus ini pada peringkat awal/demam.

RAWATAN

* Segera berjumpa dengan doktor kerana tiada ubat yang khusus untuk merawat demam denggi.
* Rehat dan banyakkan minum air masak. Ubat paracetamol boleh diambil untuk menurunkan demam dan mengurangkan kesakitan.
* Elakkan ubat aspirin bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.
* Mandi jerlum.
* Antibiotik tidak diperlukan.

DEMAM DENGGI BERDARAH

Merupakan demam denggi yang teruk disebabkan oleh jangkitan virus denggi.

Kebiasaan tanda sakit adalah sama dengan demam denggi. Pesakit akan menjadi teruk disebabkan oleh radangan di salur darah. Tanda-tanda yang biasa termasuklah muntah, pitam dan sakit di bahagian abdomen.

Salur darah di dalam badan boleh mengalami kebocoran dan menyebabkan isi padu darah berkurangan. Ini boleh menyebabkan pesakit mengalami renjatan (shock) dan akhirnya boleh menyebabkan kematian.

Tiada ubat-ubatan yang khusus untuk merawat demam denggi. Pesakit perlu dimasukkan ke wad bagi rawatan demam denggi berdarah. Rawatan awal boleh mengelakkan kematian dengan kadar kurang daripada 1%. Pesakit akan diberikan rehidrasi untuk memastikan beliau tidak mengalami renjatan.

Walaupun nama penyakit ini demam denggi berdarah, masalah yang membawa kemudaratan adalah masalah kebocoran salur darah yang menyebabkan renjatan dan bukan pendarahan yang menjadi masalah utama.

Faktor penyumbang

* Pembangunan yang pesat di bandar-bandar terutama di Negara Tropika menyebabkan kepadatan penduduk tinggi dan tapak binaan yang banyak.
* Peningkatan penggunaan bahan plastik dan pembuangan tayar lama boleh menyebabkan pembiakan nyamuk yang baru.
* Pergerakan manusia dari satu tempat ke tempat yang lain menyebabkan penularan berlaku dengan cepat.

PENCEGAHAN

Pada masa sekarang tiada vaksin untuk mengubati demam denggi. Walau bagaimanapun usaha-usaha sedang dijalankan untuk menghasilkan vaksin tersebut.

Elakkan gigitan nyamuk dengan:

* Gunakan ubat nyamuk.
* Gunakan kelambu semasa tidur. Gunakan ‘repellent’ jika perlu.
* Elakkan aktiviti semasa nyamuk aktif menggigit (5.30 pagi-8.00 pagi dan 5.30 petang-8.00 malam).
* Pakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang apabila keluar daripada rumah.
* Pasang jaring halus (mosquito mesh) di tingkap dan pintu.

Menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk:

* Menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di sekeliling rumah. Musnahkan semua bekas yang boleh menakung air hujan atau lebihan air, terutamanya di besen, tayar lama, bekas bunga, bekas plastik dan tong. Jika tidak boleh dimusnahkan, letakkan bahan pembunuh jentik-jentik di bekas tersebut.
* Kerap tukar air di bekas minuman haiwan peliharaan.

Jika anak anda disyaki mengalami sakit denggi dan dipantau sebagai pesakit luar (tidak dimasukkan ke wad), bawa anak anda segera ke hospital/klinik jika:

* Muntah berlarutan/berpanjangan.
* Sakit perut.
* Kurang bermaya/sawan.
* Sesak nafas.
* Pucat/sejuk pada tangan dan kaki.
* Pendarahan: daripada gusi/hidung, muntah darah, najis berdarah dan tanda-tanda merah pada kulit.

SUMBER: http://www.myhealth.gov.my

Permanent link to this article: http://pku.umt.edu.my/?p=3794

Sep 06 2015

CIRIT-BIRIT

CIRIT-BIRIT

Pengenalan

Cirit-birit selalunya terjadi dikalangan kanak-kanak. Biasanya ia akan sembuh dengan sendirinya tanpa menyebabkan komplikasi-komplikasi lain.

Apakah cirit-birit?

Cirit-birit bermaksud membuang air besar yang lebih lembik dan berair daripada biasa. Najis akan keluar lebih kerap daripada biasa.

  • Cirit-birit akut – ia terjadi dengan tiba-tiba dan berterusan kurang daripada dua minggu.
  • Cirit-birit kronik– ia berterusan (berlarutan) melebihi dua minggu.

Apakah penyebab cirit-birit?

Makanan atau air yang tercemar menyebabkan jangkitan pada usus dan cirit-birit. Terdapat sebab-sebab  selain daripada jangkitan tetapi ini lebih jarang berlaku.

Sebab-sebab jangkitan:

Tranmisi/penyebaran biasanya berlaku daripada makanan / air /benda yang tercemar kepada individu ataupun daripada seorang individu kepada individu yang lain.

  • Virus
    • contoh.; Rotavirus, Norovirus, Astrovirus.
  • Bakteria
    • Contoh: Shigella, Campylobacter, Escherichia coli
  • Parasit
    • contoh;. Giardia lambdia, Entamoeba histolytica

Bukan sebab-sebab jangkitan

  • Kurang toleransi terhadap makanan – kurang toleransi terhadap laktosa.
  • Reaksi terhadap ubat-ubatan – sesetengah antibiotik.
  • Penyakit berkaitan usus – penyakit radang usus (inflammatory bowel disease), penyakit ‘coeliac’ di mana badan kurang toleransi terhadap gluten.
  • Functional bowel disease– sindrom iritasi usus (irritable bowel syndrome).

Apakah tanda-tanda dan simptom cirit-birit?

  • Membuang air besar dengan lebih kerap.
  • Najis berair dengan/tanpa lendir.
  • Mual atau muntah-muntah.
  • Demam.
  • Sakit/kejang perut.
  • Kembung perut.
  • Hilang selera makan.

Kanak-kanak mungkin kelihatan normal atau mungkin ada tanda-tanda dehidrasi (penyahhidratan).

Bagaimana mengenal dihidrasi?

Dihidrasi ringan dan sederhana:

  • Mulut dan lidah kering.
  • Bibir merekah.
  • Tiada atau hanya sedikit sahaja air mata jika menangis.
  • Tidak kencing selama 4-6 jam (lampin tidak basah dalam tempoh tersebut).
  • Ubun-ubun kepala bayi tenggelam.
  • Meragam.

Dihidrasi teruk:

Terdapat semua tanda-tanda di atas dan diikuti tanda-tanda berikut:

  • Kulit kering dan berkedut.
  • Kanak-kanak kelihatan tidak bermaya, sangat letih dan tidak aktif.
  • Mata cengkung.
  • Sukar bernafas.
  • Nadi yang lemah dan sangat cepat.
  • Tangan dan kaki terasa sangat sejuk.
  • Enggan makan.

Permanent link to this article: http://pku.umt.edu.my/?p=3791

Sep 06 2015

MAKLUMAN PERKHIDMATAN PEGAWAI PERUBATAN LOKUM DI PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI

Dimaklumkan bahawa Pusat Kesihatan Universiti akan menggunakan perkhidmatan Pegawai Perubatan Lokum pada 6 September – 15 Oktober 2015 bagi menggantikan Dr Sidek bin Harun, Pegawai Perubatan Kanan yang menjalani ibadah haji serta bercuti rehat.

Permanent link to this article: http://pku.umt.edu.my/?p=3789

Jun 30 2015

JOM KIRA KALORI ANDA

JOM KIRA KEPERLUAN KALORI ANDA
    A. Indeks Jisim Tubuh (IJT)/ BMI :
    B. Bagaimana mengira berat badan ideal.??
    C. Apakah keperluan kalori seharian anda?
Jadi, berapakah keperluan kalori anda.?

 

Permanent link to this article: http://pku.umt.edu.my/?p=3782